Pada minggu ke-3, Puan Faiezaratul Faziela bt Isa telah membuat satu
aktiviti menarik. Kami semua telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil
yang terdiri daripada 5 hingga 6 orang setiap kumpulan.
Setiap kumpulan diberikan plastisin dan besen. Kami dikehendaki
mengisi sebahagian besen tersebut dengan air. Mengikut masa yang telah
ditetapkan, puan meminta kami untuk membentuk plastisin yang telah diberi
mengikut kreativiti masing-masing supaya dapat diapungkan di dalam air
tersebut.
Pada mulanya, kami tidak tahu cara untuk mengapungkan plastisin
tersebut kerana jika dilihat, plastisin bersifat tumpat dan berat. Namun
begitu, hasil perbincangan dengan ahli kumpulan, setiap kumpulan berjaya
mengapungkan plastisin masing-masing.
Setelah itu, wakil setiap kumpulan diminta untuk mengambil guli. Kami
diarahkan supaya mengisi guli seberapa banyak yang boleh ke dalam plastisin
yang telah diapungkan tadi tanpa menenggelamkannya.
Suasana sepanjang permainan itu sangat seronok dan mendebarkan kerana
setiap kumpulan bermatlamat untuk mengisi guli paling banyak supaya dapat
menjadi juara. Timbul sifat tamak dan terburu-buru dalam diri kebanyakan pemain
tetapi dalam konsep yang positif iaitu untuk berjaya.
Apabila masa yang telah ditetapkan tamat, Puan mengumumkan kumpulan
yang terbaik. Kumpulan juara ialah mereka yang berjaya mengisi paling banyak
guli iaitu lebih daipada 30 biji guli di dalam ‘kapal’ plastisin mereka tanpa
menenggelamkannya. Manakala kumpulan kedua dapat mengisi lebih 20 biji guli.
Kumpulan yang lain juga dapat melakukannya namun masa yang terhad menyebabkan
‘kapal’ yang tenggelam tidak dapat diselamatkan.
Nilai moral yang dapat diambil daripada aktiviti yang telah
dijalankan ini ialah semangat berpasukan. Sekiranya ahli pasukan tidak
bersemangat untk menyumbang idea atau tenaga sepanjang permainan, pasti sukar
untuk suatu pasukan untuk berjaya. Selain itu, setiap ahli kumpulan perlu
merancang strategi supaya matlamat berjaya dicapai dengan hasil yang terbaik.
Sebagai contoh, setiap kumpulan perlu membahagikan tugas kepada ketua,
perancang masa, pembina strategi dan sebagainya.
Sebenarnya, tujuan Puan menjalankan aktiviti ini bukanlah sekadar
untuk bermain. Terdapat pelajaran bermakna yang kita dapat kutip. Pernahkah
anda terfikir mengapa sebuah kapal penumpang yang besar dapat terapung di atas
permukaan laut? Mari kita lihat prinsip Archimedes tentang daya apungan.
Archimedes atau Archimedes of Syracuse, seorang tokoh matematik dan
jurutera Yunani merupakan orang yang menyedari bahawa terdapat satu daya
julangan yang bertindak ke atas objek dalam cecair. Daya julangan ini berasal
dari cecair dan menyebabkan objek seolah-olah kehilangan berat dalam cecair.
Prinsip Archimedes menyatakan bahawa jasad yang rendam sepenuh atau
separa rendam dalam bendalir akan mengalami satu daya tujah ke atas yang sama
magnitudnya dengan berat bendalir yang disesarkan oleh jasad tersebut.
Oleh sebab tekanan cecair bertambah dengan kedalaman cecair, maka
satu objek yang terendam separa atu sepenuhnya dalam cecair akan mengalami daya
yang lebih besar di bahagian bawahnya dan daya yang lebih kecil di bahagian
atasnya.
Daya tujah ke atas menyebabkan keapungan berlaku. Fenomena keapungan
inilah yang menyebabkan kapal laut terapung di permukaan laut. Ini turut
membolehkan kita berenang dalam air kerana wujudnya daya tujah ke atas yang
bertindak pada badan kita.
Faktor yang mempengaruhi daya tujah ke atas ialah isi padu jasad,
ketumpatan cecair dan kekuatan medan gravity:
o Jasad yang lebih besar saiznya akan ditindakkan oleh daya tujah yang
lebih besar.
o Cecair yang lebih tumpat akan menghasilkan daya tujah yang lebih
besar.
o Medan graviti yang lebih kuat akan menghasilkan daya tujah yang lebih
besar.
Mesti kita semua terfikir mengapa pula ada beberapa objek yang
tenggelam di dalam air? Hal ini kerana ada objek yang lebih tumpat dari cecair
yang menampungnya. Daya tujah tetap ada untuk objek tersebut tetapi objek
tersebut akan tenggelam kerana magnitud daya tujah yang bertindak ke atas tidak
cukup untuk menyokong berat objek tersebut.
Kesimpulannya, kita perlu mempelbagaikan strategi pengajaran dan
pembelajaran. Strategi pengajaran terbahagi kepada tiga jenis iaitu strategi
pemusatan guru, murid dan bahan. Jadi, pemusatan strategi yang dipilih adalah
tidak tetap dan boleh diubah mengikut keadaan semasa pelajar.
Selain itu, kita perlu bijak mempelbagaikan kaedah pengajaran.
Kaedah-kaedah pengajaran yang disukai oleh pelajar adalah berbeza-beza misalnya
ada pelajar yang tidak suka kepada aktiviti pembelajaran bersama rakan dan ada
pelajar yang suka pemgajarn di luar bilik darjah. Jadi, kita perlu mendalami
kecenderungan kaedah yang digemari oleh pelajar supaya mereka tidak bosan.
Sebagai guru, kita perlu merancang variasi penyampaian. Kita mesti
menggunakan semua pancaindera seperti bertepuk tangan, fokus pandangan, mimik
muka, intonasi suara dan gerakan fizikal yang pelbagai. Hal ini supaya kita
dapat meransang dan menarik perhatian pelajar untuk mengikuti proses
pembelajaran kerana gaya persembahan pengajaran guru mampu menaikkan minat
pelajar.
Wan Khairunisa Wan Ab Rahman :)
No comments:
Post a Comment