Layout

Wednesday, 15 May 2013

Lawatan Ke Pusat PERMATA Pintar UKM



Assalamualaikum…2 MEI 2013

Salam sayang buat pembaca blog semua….

Pada awal Mei yang lalu, pelajar semester 2  kelas pintar cerdas,berbakat dan kreatif  (KBC 3013)  telah mengadakan lawatan ke PusatPERMATApintar Negara yang terletak di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Kehadiran kami disambut baik oleh kakitangan di situ.Pusat PERMATApintar Negara merupakan program yang dilaksanakan kerajaan bagi mencari pelajar-pelajar pintar cerdas untuk mengembangkan lagi potensi mereka.. Pusat PERMATApintar Negara adalah satu-satunya pusat kecemerlangan di Malaysia yang bertanggungjawab mengenalpasti pelajar-pelajar pintar dan berbakat dari seluruh tanah air dan memberikan mereka peluang untuk mengembangkan potensi dan bakat mereka.Usaha ini perlu dijalankan kerana pelajar-pelajar ini adalah aset negara yang sangat berharga.


Kegagalan mengenalpasti pelajar-pelajar ini boleh menyebabkan negara kehilangan tenaga kerja yang sangat berharga, samada kerana mereka tercicir dari arus pendidikan, atau mereka berhijrah ke negara luar yang menawarkan ganjaran serta peluang pendidikan yang lebih baik.Malaysia memerlukan lebih ramai pakar-pakar saintis, teknokrat, pemikir, dan nobel laureate di masa akan datang sebagai persediaan untuk menghadapi cabaran yang tidak terfikir oleh masyarakat hari ini. Oleh hal yang demikian diharap dengan penubuhan PusatPERMATApintar Negara  dapat memenuhi keperluan berkenaan.

Terdapat pelbagai prosedur yang perlu diikuti bagi membolehkan para pelajar untuk memasuki pusat permata pintar. Pelajar-pelajar yang mengikuti Program Pendidikan PERMATApintarTM, dipilih setelah melalui ujian saringan iaitu ujian UKM 1,UKM 2, dan UKM 3 serta penilaian memulakan program pada usia 16 tahun. Antara tujuan utama program ini adalah untuk menyediakan program pendidikan holistik dan suasana pembelajaran yang kondusif khusus untuk pelajar-pelajar pintar dan berbakat. Program ini membangun, menyedia dan melaksanakan kurikulum pembelajaran yang sesuai dengan keperluan pembelajaran pelajar pintar cerdas akademik yang mempunyai potensi intelek yang tinggi. Adalah diharapkan ada antara pelajar program ini akan menjadi, antara lain, bakal penyelidik, teknokrat, pemikir, pemimpin dan Nobel Laureate yang serba-boleh.  Untuk mencapai tujuan tersebut PERMATApintar menawarkan prasarana dan suasana pembelajaran yang kondusif. Beberapa pilihan trek pengajian mengikut kemampuan pelajar ditawarkan, dan ini membolehkan sebilangan pelajar menamatkan pendidikan menengah, dan seterusnya melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti pada usia muda. Program ini pendidikan ini terdiri dari beberapa komponen --antara lain, akademik, pembentukan sahsiah, kepimpinan dan jati  diri, serta ko-kurikulum. Komponen akademik dijalankan dengan pendekatan differentiated dan accelerated learning/teaching untuk membolehkan pelajar menguasai ilmu mengikut kemampuan masing-masing.

Kurikulum kebangsaan (KBSM) digunakan sebagai kurikulum asas, tetapi terdapat juga kurikulum tambahan yang meliputi beberapa kursus universiti seperti Calculus, Linear Algebra dan bahasa asing sebagai academic rigor. Komponen pembentukan sahsiah, kepimpinan dan jati diri melibatkan pelbagai program kemasyarakatan yang menekankan semangat kekitaan dan kesukarelaan, disamping  pengembangan kemahiran komunikasi  interpersonal dan kepimpinan. Komponen kokurikulum membolehkan pelajar melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti persatuan,  sukan dan pelbagai pertandingan  seperti Math Olympiad, Robotics Competition, di dalam dan luar negeri. Pelajar-pelajar yang tamat pengajian dengan jayanya ditawarkan melanjutkan pengajian ke universiti-universiti ternama.

Sebelum memulakan lawatan kami diberi penerangan secara ringkas mengenai PusatPERMATAPintar Negara oleh instruktor di situ. Pelbagai maklumat yang sangat berguna kami perolehi melalui penerangan tersebut. Setelah itu, sesi soal jawab diadakan bagi memastikan kami mendapat gambaran yang jelas mengenai program tersebut. Selepas tamat sesi soal jawab, kami telah dibawa melawat ke seluruh bangunan PusatPERMATAPintar tersebut. Kami telah dibawa melawat ke kelas, makmal komputer, bilik muzik,perpustakaan dan lain-lain lagi. Semasa kami dalam perjalanan melawat kawasan tempat tersebut kami berjumpa dengan seorang pelajar pintar cerdas yang mengalami twice exceptional di mana pelajar tersebut mempunyai ‘Asperger Syndrome’ tetapi dalam masa yang sama dia juga pintar cerdas. Pelajar tersebut iaitu Muhammad Arif Anwar mengakui pada mulanya dia berasa agak susah untuk menyesuaikan diri dengan keadaan di tempat tersebut namun berkat sokongan rakan-rakan serta instruktor di situ akhirnya dia dapat mengikuti pembelajaran seperti murid normal yang lain di situ.



Lawatan ke PusatPERMATAPintar ini sedikit sebanyak memberi gambaran kepada kami sebagai bakal pendidik terutamanya yang mengambil pengkhususan pintar cerdas untuk mengenali lebih dekat pelajar pintar cerdas. Selain itu, kami diberi peluang untuk melihat aktiviti seharian pelajar pintar cerdas di PusatPERMATAPintar Negara ini di mana ia sangat membantu kami mengetahui apa yang sebenarnya diperlukan oleh pelajar pintar cerdas. Kemudahan yang disediakan sangat kondusif untuk memastikan para pelajar ini dapat belajar dalam keadaan yang selesa serta untuk memastikan mereka dapat mencapai keputusan yang cemerlang. Usaha kerajaan dalam melaksanakan program ini dilihat sebgai suatu usaha yang positif kerana program ini dapat menjana pembangunan negara melalui penghasilan produk-produk iaitu pelajar yang cemerlang yang akan memberi sumbangan kepada negara kelak.

Sekian Noor hidayah Bt Jamaludin mewakili ahli kumpulan saya iaitu Aliah, Yusranizar, Amalina, Ainieyna, Hafizah dan Najihah menulis blog pada minggu ini. Semoga apa yag saya tulis sedikit sebanyak dapat memberi maklumat kepada pembaca blog semua.
Sekian sahaja daripada saya..


No comments:

Post a Comment