Layout

Monday, 13 May 2013

Refleksi



Pada minggu ke-3, Puan Faiezaratul Faziela bt Isa telah membuat satu aktiviti menarik. Kami semua telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil yang terdiri daripada 5 hingga 6 orang setiap kumpulan.

Setiap kumpulan diberikan plastisin dan besen. Kami dikehendaki mengisi sebahagian besen tersebut dengan air. Mengikut masa yang telah ditetapkan, puan meminta kami untuk membentuk plastisin yang telah diberi mengikut kreativiti masing-masing supaya dapat diapungkan di dalam air tersebut.


Pada mulanya, kami tidak tahu cara untuk mengapungkan plastisin tersebut kerana jika dilihat, plastisin bersifat tumpat dan berat. Namun begitu, hasil perbincangan dengan ahli kumpulan, setiap kumpulan berjaya mengapungkan plastisin masing-masing.

Setelah itu, wakil setiap kumpulan diminta untuk mengambil guli. Kami diarahkan supaya mengisi guli seberapa banyak yang boleh ke dalam plastisin yang telah diapungkan tadi tanpa menenggelamkannya.

Suasana sepanjang permainan itu sangat seronok dan mendebarkan kerana setiap kumpulan bermatlamat untuk mengisi guli paling banyak supaya dapat menjadi juara. Timbul sifat tamak dan terburu-buru dalam diri kebanyakan pemain tetapi dalam konsep yang positif iaitu untuk berjaya.

Apabila masa yang telah ditetapkan tamat, Puan mengumumkan kumpulan yang terbaik. Kumpulan juara ialah mereka yang berjaya mengisi paling banyak guli iaitu lebih daipada 30 biji guli di dalam ‘kapal’ plastisin mereka tanpa menenggelamkannya. Manakala kumpulan kedua dapat mengisi lebih 20 biji guli. Kumpulan yang lain juga dapat melakukannya namun masa yang terhad menyebabkan ‘kapal’ yang tenggelam tidak dapat diselamatkan.

Nilai moral yang dapat diambil daripada aktiviti yang telah dijalankan ini ialah semangat berpasukan. Sekiranya ahli pasukan tidak bersemangat untk menyumbang idea atau tenaga sepanjang permainan, pasti sukar untuk suatu pasukan untuk berjaya. Selain itu, setiap ahli kumpulan perlu merancang strategi supaya matlamat berjaya dicapai dengan hasil yang terbaik. Sebagai contoh, setiap kumpulan perlu membahagikan tugas kepada ketua, perancang masa, pembina strategi dan sebagainya.

Sebenarnya, tujuan Puan menjalankan aktiviti ini bukanlah sekadar untuk bermain. Terdapat pelajaran bermakna yang kita dapat kutip. Pernahkah anda terfikir mengapa sebuah kapal penumpang yang besar dapat terapung di atas permukaan laut? Mari kita lihat prinsip Archimedes tentang daya apungan.

Archimedes atau Archimedes of Syracuse, seorang tokoh matematik dan jurutera Yunani merupakan orang yang menyedari bahawa terdapat satu daya julangan yang bertindak ke atas objek dalam cecair. Daya julangan ini berasal dari cecair dan menyebabkan objek seolah-olah kehilangan berat dalam cecair.

Prinsip Archimedes menyatakan bahawa jasad yang rendam sepenuh atau separa rendam dalam bendalir akan mengalami satu daya tujah ke atas yang sama magnitudnya dengan berat bendalir yang disesarkan oleh jasad tersebut.

Oleh sebab tekanan cecair bertambah dengan kedalaman cecair, maka satu objek yang terendam separa atu sepenuhnya dalam cecair akan mengalami daya yang lebih besar di bahagian bawahnya dan daya yang lebih kecil di bahagian atasnya.

Daya tujah ke atas menyebabkan keapungan berlaku. Fenomena keapungan inilah yang menyebabkan kapal laut terapung di permukaan laut. Ini turut membolehkan kita berenang dalam air kerana wujudnya daya tujah ke atas yang bertindak pada badan kita.

Faktor yang mempengaruhi daya tujah ke atas ialah isi padu jasad, ketumpatan cecair dan kekuatan medan gravity:

o   Jasad yang lebih besar saiznya akan ditindakkan oleh daya tujah yang lebih besar.
o   Cecair yang lebih tumpat akan menghasilkan daya tujah yang lebih besar.
o   Medan graviti yang lebih kuat akan menghasilkan daya tujah yang lebih besar.

Mesti kita semua terfikir mengapa pula ada beberapa objek yang tenggelam di dalam air? Hal ini kerana ada objek yang lebih tumpat dari cecair yang menampungnya. Daya tujah tetap ada untuk objek tersebut tetapi objek tersebut akan tenggelam kerana magnitud daya tujah yang bertindak ke atas tidak cukup untuk menyokong berat objek tersebut.

Kesimpulannya, kita perlu mempelbagaikan strategi pengajaran dan pembelajaran. Strategi pengajaran terbahagi kepada tiga jenis iaitu strategi pemusatan guru, murid dan bahan. Jadi, pemusatan strategi yang dipilih adalah tidak tetap dan boleh diubah mengikut keadaan semasa pelajar.

Selain itu, kita perlu bijak mempelbagaikan kaedah pengajaran. Kaedah-kaedah pengajaran yang disukai oleh pelajar adalah berbeza-beza misalnya ada pelajar yang tidak suka kepada aktiviti pembelajaran bersama rakan dan ada pelajar yang suka pemgajarn di luar bilik darjah. Jadi, kita perlu mendalami kecenderungan kaedah yang digemari oleh pelajar supaya mereka tidak bosan.

Sebagai guru, kita perlu merancang variasi penyampaian. Kita mesti menggunakan semua pancaindera seperti bertepuk tangan, fokus pandangan, mimik muka, intonasi suara dan gerakan fizikal yang pelbagai. Hal ini supaya kita dapat meransang dan menarik perhatian pelajar untuk mengikuti proses pembelajaran kerana gaya persembahan pengajaran guru mampu menaikkan minat pelajar.

No comments:

Post a Comment